Wednesday, 21 December 2011

Proses Kehamilan dan Perkembangan Janin Dalam Kandungan

Proses kehamilan adalah proses dimana bertemunya sel telur dengan sel sperma hingga terjadi pembuahan. Proses kehamilan (gestasi) berlangsung selama 40 minggu atau 280 hari dihitung dari hari pertama menstruasi terakhir. Usia kehamilan sendiri adalah 38 minggu, karena dihitung mulai dari tanggal konsepsi (tanggal bersatunya sperma dengan telur), yang terjadi dua minggu setelahnya.

Dalam dunia kedokteran, proses kehamilan dibagi menjadi tiga fase sesuai dengan pertumbuhan fisik bayi. Masing-masing fase tersebut disebut trimester.
  • Trimester Pertama (Minggu 0 – 12)
fase germ dan embrio Proses Kehamilan dan Perkembangan Janin Dalam Kandungan 
Dalam fase ini ada tiga periode penting pertumbuhan mulai dari periode germinal sampai periode terbentuknya fetus.
A. Periode Germinal (Minggu 0 – 3)
Proses pembuahan telur oleh sperma yang terjadi pada minggu ke-2 dari hari pertama menstruasi terakhir. Telur yang sudah dibuahi sperma bergerak dari tuba fallopi dan menempel ke dinding uterus (endometrium).
B. Periode Embrio (Minggu 3 – 8 )
Proses dimana sistem syaraf pusat, organ-organ utama dan struktur anatomi mulai terbentuk seperti mata, mulut dan lidah mulai terbentuk, sedangkan hati mulai memproduksi sel darah. Janin mulai berubah dari blastosis menjadi embrio berukuran 1,3 cm dengan kepala yang besar
C. Periode Fetus (Minggu 9 – 12)
Periode dimana semua organ penting terus bertumbuh dengan cepat dan saling berkaitan dan aktivitas otak sangat tinggi.
  • Trimester kedua (Minggu 12 – 24)
periode fetus Proses Kehamilan dan Perkembangan Janin Dalam Kandungan 
Pada trimester kedua ini terjadi peningkatan perkembangan janin.
Pada minggu ke-18 kita bisa melakukan pemeriksaan dengan ultrasongrafi (USG) untuk mengecek kesempurnaan janin, posisi plasenta dan kemungkinan bayi kembar. Jaringan kuku, kulit dan rambut berkembang dan mengeras pada minggu ke 20 – 21. Indera penglihatan dan pendengaran janin mulai berfungsi. Kelopak mata sudah dapat membuka dan menutup. Janin (fetus) mulai tampak sebagai sosok manusia dengan panjang 30 cm.
  • Trimester ketiga (24 -40)
Dalam trimester ini semua organ tubuh tumbuh dengan sempurna. Janin menunjukkan aktivitas motorik yang terkoordinasi seperti menendang atau menonjok serta dia sudah memiliki periode tidur dan bangun. Masa tidurnya jauh lebih lama dibandingkan masa bangun. Paru-paru berkembang pesat menjadi sempurna.
Pada bulan ke-9 ini , janin mengambil posisi kepala di bawah dan siap untuk dilahirkan. Berat bayi lahir berkisar antara 3 -3,5 kg dengan panjang 50 cm. Untuk lebih jelasnya lihat  Perkembangan bayi dalam kandungan (Sumber: Majalah Kesehatan).

Kanser Usus


Kanser usus atau barah usus (bowel cancer) merupakan kanser pembunuh ketiga tertinggi di Malaysia. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh National Cancer Registry pada tahun 2003, kanser usus merupakan kanser yang paling kerap dihidapi oleh lelaki, 14.2% dan merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia, 10.1% selepas kanser payudara (breast cancer) dan kanser pangkal rahim (cervix cancer). Oleh itu, kini pelbagai kajian sedang dilakukan oleh doktor-doktor perubatan di seluruh dunia dalam usaha mencari lebih informasi tentang penyakit ini.
Kebanyakan kanser usus bermula dari kelenjar-kelenjar yang terdapat pada permukaan usus besar (kolon dan rektum). Tiada satu penyebab utama dapat dikenalpasti yang boleh menyebabkan kanser usus. Kanser ini berkembang disebabkan gabungan beberapa faktor-faktor tertentu. Berdasarkan kajian, hampir kesemua kanser usus bermula dengan ketumbuhan (polyp) di dalam usus besar yang secara perlahan-lahan membesar dan menjadi kanser.
Risiko untuk seseorang individu untuk mendapat kanser usus adalah menjadi lebih tinggi sekiranya individu tersebut memiliki faktor-faktor berikut:
  • Berusia (lebih daripada 60 tahun).
  • Berketurunan African American dan Timur Eropah.
  • Memakan banyak daging merah dan daging proses.
  • Menghidapi apa-apa jenis kanser.
  • Menghidapi ketumbuhan dalam usus (colorectal polyps).
  • Menghidapi penyakit inflamasi(radang) usus (Crohn’s disease atau Ulcerative colitis).
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser usus.
  • Wanita yang menghidapi kanser payudara.
  • Menghidapi kencing manis (diabetes mellitus).
Penyakit-penyakit genetik seperti Familial adenomatous polyposis (FAP) dan Hereditary nonpolyposis colorectal cancer (HNPCC), atau lebih dikenali sebagai Lynch syndrome juga telah dikenalpasti meningkatkan risiko kanser usus.
Selain itu, faktor-faktor pemakanan seperti kurang memakan sayur-sayuran dan buah-buahan, kurang memakan makanan berfiber dan pemakanan daging merah secara berlebihan juga menyumbang kepada pembentukan kanser usus. Merokok dan juga meminum minuman keras (alkohol) pula adalah satu faktor yang sudah lama dikenalpasti untuk menyebabkan apa-apa jenis kanser.
Jadi, apakah tanda-tanda amaran atau simptom-simptom yang dialami oleh penghidap kanser usus ini? Antaranya adalah seperti berikut:
  • Sakit pada bahagian abdomen.
  • Darah di dalam tinja.
  • Perubahan pada tabiat membuang air besar iaitu sembelit atau cirit-birit.
  • Kehilangan berat badan.
  • Badan tidak bermaya.
Sekiranya anda memiliki gejala-gejala yang tersebut di atas, jangan ambil masa yang lama, segera berjumpa dengan doktor berhampiran anda. Statistik telah menunjukkan, sekiranya diagnosis atau pengesanan kanser usus ini dibuat lebih awal, ia boleh dirawat sepenuhnya.
Semestinya, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. “An apple a day, makes the doctor away“. Amalkan pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang sihat boleh mencegah daripada mendapat kanser usus ini.

Cacar Air (Chicken Pox)




Cacar air juga dikenali sebagai jintungan atau bertih (mengikut dialek daerah). Ia disebabkan oleh virus Varicella (kumpulan virus herpes) dan amat mudah berjangkit. Ia berlaku pada semua peringkat umur, biasanya pada kanak-kanak. Ia lebih teruk sekiranya berlaku kepada orang dewasa. Penyebaran adalah melalui sentuhan atau titisan cecair daripada orang dijangkiti. Penyebaran juga berlaku melalui bahan tercemar dengan cairan cacar seperti pada pakaian atau tuala dari penghidap cacar air.


Pengidap cacar air boleh merebakkan virus sehingga 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh terus menjangkitkan orang lain sehingga cacar air menjadi kering dan berkeruping. Kayap (herpes zoster) ialah infeksi dari virus yang sama dan berlaku pada masa hadapan (umur dewasa).


Tanda dan Gejala

Pengidap cacar air akan mengalami demam dengan bintik-bintik merah pada kulit. Kawasan bintik-bintik merah melibatkan muka, kepala, dada, belakang dan akhirnya seluruh tubuh. Ruam cacar air akan timbul kurang dari 2 minggu selepas jangkitan berlaku.

Bintik-bintik merah yang baru akan mula timbul dalam beberapa hari dan bilangan boleh mencecah ratusan biji dan kemudian membentuk gelembung berisi air. Bila gelembung berisi air pecah ia menjadi kering dan berkeruping. Rasa gatal sederhana atau teruk menyebabkan pesakit akan menggaru dan akhirnya menyebabkan parut.

Gejala lain ialah sakit perut, tiada selera makan, sakit kepala, rasa tidak selesa, letih dan terganggu. Penghidap juga ada batuk ringan, hidung berair 2 hari sebelum bintik-bintik merah timbul.

Komplikasi

Ruam atau cacar air akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu dan biasanya tiada komplikasi. Adakala penyakit boleh jadi teruk walaupun pada kanak-kanak yang sihat dan mengakibatkan komplikasi teruk termasuklah kematian. Kumpulan berisiko untuk jangkitan serta mendapat komplikasi teruk:

* Bayi baru lahir, yang mana ibu tidak penah mengidap cacar air atau pelalian cacar air
* Ibu mengandung menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota boleh berlaku. Sekiranya ibu mengidap cacar air seminggu sebelum kelahiran, ia boleh menyebabkan jangkitan serius serta membahayakan nyawa pada bayi
* Orang yang lemah atau kurang daya tahan akibat penyakit lain seperti HIV, barah sumsum tulang (leukemia) dan pesakit kanser dalam rawatan kemoterapi. Orang yang mengambil steroid berpanjangan pesakit asma dan sindrom nefrotik
* Penghidap sakit radangan kulit (inflammation eczema)

Komplikasi akibat cacar air :

* Jangkitan kulit - menjadi lebam merah, bengkak dan sakit
* Dehidrasi akibat muntah berterusan atau tidak minum air. Tanda dehidrasi ialah kurang kencing, mulut kering dan dahaga
* Kerosakan otak akibat keradangan otak. Tanda-tanda radang otak ialah sakit kepala teruk, keliru, mudah marah, leher keras dan belakang mengeras serta tidak sedarkan diri
* Radang sendi - sendi menjadi sakit, kejang dan bengkak
* Jangkitan paru-paru (pneumonia)- tanda-tanda seperti batuk, susah bernafas, pernafasan berbunyi (wheezing) dan sakit dada.

Rawatan

Ubatan anti-viral

Acyclovir atau immuno globulin diguna untuk merawat cacar air. Rawatan amat berkesan sekiranya diambil segera dalam tempoh 24 jam dijangkiti. Ia akan mengurangkan keterukan dan komplikasi akibat cacar air. Semua orang dewasa mendapat kebaikan dari rawatan antiviral pada peringkat awal penyakit terutamanya mereka yang kurang sistem daya tahan (orang lanjut usia, pesakit diabetes, pengidap HIV/AIDS serta rawatan steroid).


Rawatan antibiotik

Komplikasi akibat cacar air seperti radangan kulit dan radangan paru-paru memerlukan rawatan antibiotik. Pesakit yang mendapat radang otak hendaklah dimasukkan ke hospital untuk rawatan antivirus.

Rawatan di rumah

* Sapu losyen calamine
* Ubatan antihistamin kurangkan gatal-gatal
* Panadol untuk demam

Pencegahan

Pelalian memberi ketahanan sepanjang hayat, diberi pada umur 12-18 bulan. Pemberian pelalian di bawah umur 13 tahun sebanyak 1 dos, manakala selepas umur 13 tahun ialah sebanyak 2 dos (selang masa 4 - 8 minggu antara dos 1 dengan dos 2). Pelalian aktif diberi kepada kanak-kanak berisiko (antara 1 - 5 tahun) sekiranya ahli keluarga ada cacar air.

Waktu Subur Wanita


Kenapa anda perlu tahu waktu subur wanita? Ada 2 sebab utama :



1. Untuk memudahkan mendapat zuriat
2. Untuk mengelakkan daripada mendapat zuriat

Kedua-duanya adalah sama penting. Ilmu ini mungkin boleh anda sebarkan dan digunakan secara praktikal.

Ini adalah kerana fasa luteal mengikut kiraan kebiasaannya berlaku selama tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah-ubah. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama haid yang seterusnya.

Sekiranya haid anda adalah tetap 28 hari, tidak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya haid anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.
Cara Lain Mengetahui Waktu Subur

Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit dalam satu darjah celcius. Juga terdapat lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. Ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika itu.
Menganggar Waktu Terbaik Untuk Mendapat Zuriat

Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka jangkamasa untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu sperma dicipta dengan kelebihan yang lain pula.

Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan, ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami-isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Oleh itu, untuk mendapatkan zuriat, pasangan boleh bersama pada hari ke 11, 12, 13, 14, 15 atau/dan 16 untuk mendapatkan waktu optimum hari kesuburan sekiranya haid anda datang secara konsisten selama 28 hari. Itu adalah menganggarkan waktu subur adalah pada hari ke-14.

Anda boleh cuba setiap bulan untuk beberapa bulan sekiranya tidak berhasil. Ini adalah untuk memastikan waktu subur adalah sesuai dengan waktu bersama anda.
Mengelakkan Mengandung Melalui Cara Kiraan

Selain daripada untuk mendapatkan zuriat, ada pasangan yang ingin mengelakkan mengandung dengan cara mengira kalendar.

Untuk pengetahuan anda, cara mengira melalui kalendar adalah berisiko dan tidak beberapa tepat. Ini adalah kerana anda mungkin boleh tersilap kira, atau kedatangan haid yang tidak beberapa teratur menyebabkan tarikh subur lari dari kebiasaan.

Oleh kerana anda tahu sperma boleh bertahan selama 5 hari di dalam rahim (ada kajian menunjukkan 7 hari!), jadi 5 hari sebelum dan selepas hari kesuburan adalah waktu yang dianggarkan tidak boleh bersama isteri ataupun terpaksa menggunakan cara kontraseptif yang lain.

Ada juga yang meletakkan 3 hari sebelum dan selepas waktu subur. Ini lebih rapat dan lebih berisiko. Terpulang kepada anda sendiri. Seperti yang dinyatakan tadi, cara ini tidak beberapa tepat dan mempunyai risiko yang tersendiri.

Fahami Kitar Haid

Kitaran haid wanita berlaku setiap bulan, secara puratanya ialah 28-30 hari. Tetapi setiap wanita ada kitarannya sendiri - ada 25 hari dan ada yang lambat sehingga 35 hari. Tetapi secara puratanya ialah 28-30 hari.

Terdapat beberapa fasa dalam kitaran haid. Anda perlu memahami fasa ini.

Hari 1-4

Ini dipanggil fasa pengeluaran haid (menstruation) - ketika ini darah haid keluar. Hari pertama haid adalah penting untuk diketahui kerana ia adalah di mana fasa ini bermula. Pada hari pertama haid datang, ia perlu ditanda pada kalendar dan tamat selepas berapa hari. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari di dalam sebulan.

Hari 5-13

Ini dipanggil fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam bekasnya akan menjadi semakin matang.

Hari 14

Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada sarangnya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalu saluran fallopio ke rahim.

Hari 15-28

Ini dipanggil fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari sarangnya, sejenis hormone dipanggil progestron dirembes daripada sarangnya (corpus luteum). Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestron semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh.

Waktu Terbaik

Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami-isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.

Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama haid seterusnya atau ketika fasa luteal bermula.

Ulser mulut Boleh Menyebabkan Barah


Kebanyakan daripada kita mesti pernah menghidap ulser. Ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina tetapi golongon wanita mungkin lebih berisiko kerap menghidapinya terutamanya bagi wanita yang mengandung dan datang haid. Ulser ini biasanya akan pulih dengan sendirinya dan kalau berulang pun tidaklah serius dan juga tidak berjangkit kepada sesiapa di sekeliling.


Ulser ini terjadi adalah kerana jangkitan bakteria di dalam mulut dan selain itu ia juga adalah disebabkan oleh kecederaan fizikal pesakit seperti tergigit bibir, pipi atau tercucuk benda yang tajam. Ulser juga terjadi akibat kekurangan zat makanan, tekanan, kurang rehat atau keadaan mulut yang kotor.

Ulser ialah tompokan putih di dalam mulut. Ia mungkin luka atau kudis yang terdapat di bahagian mulut iaitu di bahagian pipi, mulut dan lidah. Bagi yang pernah menghidap penyakit ini tentunya tahu betapa sakitnya untuk menguyah makanan kerana rasa perit dan sakit bila makanan terkena luka ulser tadi.

Tanda-tanda Ulser

Tanda-tanda anda sedang menghidap ulser mulut :

* Kawasan yang terkena jangkitan atau cedera bewarna merah dan membengkak
* Rasa pedih dan sakit di bahagian yang luka terutama apabila anda sedang menguyah makanan pedas, masin atau panas
* Rasa sakit apabila anda sedang mengosok gigi dan susah untuk membuka mulut
* Hilang selera makan akibat pedih dan sakit di bahagian luka


Langkah Pencegahan

Langkah-langkah awal perlu diambil untuk mencegah/menyembuhkan ulser :

* Minum air yang secukupnya dan kurangkan air yang berasid
* Jauhi makanan yang banyak mengandungi rempah
* Letakkan sedikit ais di tempat luka untuk melegakan sakit
* Elakkan daripada tekanan perasaan

Jika ulser mulut anda masih tidak sembuh malah semakin merebak dalam masa kurang dari 3 minggu, anda mesti segera berjumpa doktor kerana mungkin ulser mulut yang lambat sembuh adalah tanda-tanda awal anda sedang menghidap barah mulut. Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan apabila ulser yang dialami agak besar saiz dari biasa iaitu lebih 2 mm, ulser berdarah dan tidak sembuh dalam masa 3 minggu.

Sel Darah Putih Punca Leukimia

Keadaan kanak-kanak yang menghidap leukemia mengundang simpati. Leukemia adalah kanser tisu yang menghasilkan darah, termasuk sumsum tulang dan sistem limfa.

Leukemia berasal daripada perkataan Greek bermaksud darah putih dan penyakit ini biasanya bermula dengan masalah sel darah putih.

Dalam keadaan normal, sel darah putih bertindak sebagai penghalang jangkitan yang membahagi secara teratur untuk menambah bilangannya dan leukemia mengganggu perjalanan proses ini.


Sum-sum tulang pesakit leukemia
menghasilkan banyak sel darah putih berlainan bentuk dan tidak berfungsi dengan baik. Akhirnya, kehadiran sel darah putih yang terlalu banyak akan menghalang pembentukan sel darah putih yang normal dan menjejaskan kebolehan badan melawan jangkitan.

Sel leukemia ini juga
mengganggu sel darah lain, termasuk sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan dan platlet yang membantu pembekuan darah untuk mengawal pendarahan.

Leukemia sebenarnya bukan penyakit kanak-kanak seperti disangkakan. Ada empat jenis utama leukemia dan hanya sebahagian yang menyerang kanak-kanak dan boleh membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan.
 
Simptom Leukemia
Simptom leukemia berbeza-beza, tetapi secara umumnya pesakit mengalami demam dan letih berpanjangan, jangkitan yang susah sembuh, hilang selera makan, berat badan menurun, nodus limfa dan hati bengkak, mudah luka dan berdarah, kulit berbintik merah, berpeluh pada waktu malam dan sakit tulang.

Semua tanda ini bagaimanapun bergantung kepada jumlah sel darah putih yang terkumpul dalam badan pesakit. Biasanya, tanda awal leukemia sering dilepas pandang kerana ia menyamai simptom selesema dan penyakit biasa lain.

Doktor membahagikan punca leukemia mengikut jenisnya -
akut dan limfositik. Dalam leukemia akut, sel darah yang tidak normal adalah sel tidak matang (blasts). Sel ini tidak boleh berfungsi secara normal dan membahagi dengan cepat. Jadi, penyakit mudah menjadi serius dan memerlukan rawatan segera yang agresif.

Dalam kes kronik membabitkan sel darah lebih matang, sel-sel darah ini akan mengganda dan berkumpul lebih perlahan, boleh berfungsi secara normal bagi satu tempoh tertentu. Sesetengah jenis leukemia kronik tidak menunjukkan simptom dan pesakit tidak mendapatkan rawatan hinggalah apabila sudah terlalu serius.

Klasifikasi kedua pula dibuat berdasarkan jenis darah putih yang terbabit. Leukemia limfositik memberi kesan kepada sel limfoid atau limfosit dan membentuk tisu limfoid atau limfa.

Tisu ini adalah komponen utama sistem imun badan yang ada di semua bahagian tubuh, termasuk nodus limfa, limpa dan tonsil.

Leukemia mielogenus pula membabitkan sel mieloid iaitu penghasilan sel darah (sel darah merah, putih dan platlet) dalam sumsum tulang tidak normal.

Antara jenis leukemia yang paling lazim adalah mieologenus akut (yang berlaku pada kanak-kanak dan orang dewasa), limfositik akut (biasanya pada kanak-kanak), mielogenus kronik (menyerang orang dewasa) dan limfositik kronik (dewasa).

Bagaimanapun, punca sebenar leukemia belum dapat dipastikan dengan tepat. Sehingga kini ia dipercayai berkaitan rapat dengan genetik dan faktor persekitaran.

Apa pun sebabnya, bilangan sel darah putih yang normal dan sihat akan melemahkan sistem pertahanan badan, menyebabkan pesakit mudah mendapat jangkitan, anemia dan pendarahan teruk. Sebaliknya, mempunyai terlalu banyak sel darah putih akan merosakkan fungsi sumsum tulang dan memasuki organ badan lain. Jika berlaku pendarahan atau jangkitan, ia boleh membawa maut.
Faktor Risiko dan Jenis Rawatan

Antara faktor risiko mendapat leukemia termasuk terapi kanser (kemo dan radioterapi), genetik, pendedahan kepada radiasi atau bahan kimia seperti benzene (dalam minyak tanpa plumbum, asap rokok dan bahan kimia industri). Bagaimanapun, biasanya orang yang kerap terdedah kepada faktor di atas tidak mendapat leukemia.

Jika anda mengalami simptom leukemia, segera jalani pemeriksaan kesihatan. Tidak seperti kanser lain, rawatan leukemia rumit kerana ia membabitkan sumsum tulang yang menghasilkan sel darah merah, putih dan platlet - yang sangat penting untuk hidup.
Jenis rawatan bergantung kepada banyak faktor, termasuk umur, keadaan kesihatan dan tahap penyakit. Cara paling utama adalah kemoterapi untuk membunuh sel leukemia secara pengambilan pil atau suntikan terus ke dalam salur darah.
Terapi biologi atau imunoterapi juga dijalankan untuk meningkatkan tindak balas sistem imun badan terhadap kanser. Manakala rawatan radiasi menggunakan sinar-x atau sinar bertenaga tinggi lain untuk memusnahkan sel leukemia dan menghalang pertumbuhannya.

Kaedah lain adalah
pemindahan sumsum tulang. Dalam kaedah ini, pesakit diberi kemoterapi atau radiasi pada dos lebih tinggi untuk memusnahkan sel leukemia dalam sumsum tulang. Sumsum tulang diperoleh daripada penderma sesuai atau sumsum tulang pesakit sendiri.
Pemindahan sel stem lebih kurang sama dengan pemindahan sumsum tulang dan sel stem diambil daripada darah pesakit atau penderma. Kaedah ini lebih popular daripada pemindahan sumsum tulang kerana tempoh penyembuhan yang singkat dan kurang risiko jangkitan.

Menghidap kanser - sebarang jenis kanser adalah pengalaman paling mengerikan, terutama jika ia membabitkan anak kecil. Apa pun keadaan anda, ingat, anda tidak bersendirian.

Anda perlu
kuatkan semangat menghadapi dugaan ini. Beberapa cara boleh dilakukan, termasuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai penyakit, kaedah rawatan dan kesan sampingannya.

Dapatkan
sokongan keluarga. Jika tidak, sertailah kumpulan sokongan pesakit kanser. Ini penting untuk meningkatkan tindak balas badan terhadap rawatan. Berbual dengan pesakit yang senasib sedikit sebanyak akan membantu menguatkan semangat dan pengalaman orang lain boleh membantu anda menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Buat rancangan mengubah kehidupan mengikut kemampuan anda. Pastikan anda meluangkan masa untuk diri, ambil makanan seimbang, bersenam dan dapatkan rehat yang cukup.

Kekalkan kehidupan yang aktif. Menghidap penyakit bukan bermakna anda perlu mengenepikan kegiatan digemari. Jika anda suka menyertai aktiviti kemasyarakatan, teruskan kerana ia membantu anda meningkatkan kualiti hidup

Khasiat Tomato : Cantikkan Wajah/Kulit


Tomato atau nama saintifiknya Iycopersicon esculetum sememangnya digemari ramai. Sama ada diratah begitu sahaja atau digandingkan dalam pelbagai jenis masakan, tomato menjanjikan keenakan tersendiri. Hidangan Mediterranean dan Asia Barat menjadikan tomato sebagai bahan asas yang paling kerap digunakan.


Berasal dari keluarga Solanaceae, tomato kaya dengan zat besi, serat serta vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan badan. Ia juga mengandungi fruktosa, glukosa, asid folik, potasium, kalsium dan mineral garam.





Malah kajian di Amerika Syarikat mendapati pigmen merah pada kulit tomato mengandungi lycopene yang dikatakan mampu mengurangkan risiko barah prostat di kalangan kaum lelaki. Lycopene menawarkan khasiat antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Khasiat tomato juga berkait rapat dengan kecantikan kulit. Sayuran ini dikatakan berkesan untuk mengecilkan liang roma, mengurangkan masalah jerawat dan merawat penyakit kulit. Elemen penyejuk juga mampu menyejukkan kulit yang kasar, astringen untuk menghapuskan minyak berlebihan, dan vitamin A dan C untuk mencerahkan kulit kusam dan mengembalikan keremajaan kulit.
 
Cara-Cara Penjagaan Kulit Menggunakan Tomato.


Mengecilkan Liang Roma

Campurkan satu sudu jus tomato segar dengan 2 hingga 4 titik jus limau. Sapukan bahan tersebut menggunakan kapas pada kulit wajah dan urut perlahan-lahan. Biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air suam untuk mengecilkan lagi liang roma, selepas itu sapukan pelembap muka.

Merawat Jerawat

Hancurkan tomato segar dan sapu rata bahan tersebut pada kulit muka yang berjerawat. Biarkan sejam atau lebih sebelum dibilas dan dikeringkan. Buat setiap hari sehingga jerawat hilang.


Membersihkan Kulit Muka

Topeng muka menggunakan campuran tomato dan avokado amat sesuai untuk kulit kombinasi (berminyak, biasa dan kering) kerana ia menggabungkan astringen dan antiseptik yang boleh mengurangkan kandungan minyak serta noda hitam pada kulit.

Topeng penyegar muka ini kaya dengan vitamin A, C dan E - kesemuanya penting untuk kulit yang sihat. Untuk membuat topeng muka ini, hancurkan tomato dan avokado dalam mangkuk dan sapukan pada muka, bilas selepas 20 ke 30 minit.

Boleh juga sapukan campurkan jus tomato segar dengan jus timun pada kulit muka untuk mengawal minyak and jerawat.

Menyejukkan Kulit Yang Rosak

Kisar sebiji tomato dan campurkan dua sudu yogurt. Sapu bahan tersebut pada kulit muka dan biarkan selama 20 minit. Bilas dengan air suam.

Gabungan tomato dan yogurt mampu menyejukkan kulit dan mengurangkan kesan kesakitan termasuk akibat selaran matahari dan kerengsaan kulit. Ini kerana yogurt merangsang protein pada kulit dan menjadikannya lembut manakala tomato menyejuk dan meneutralkan permukaan kulit.

GASTRIK

Gastrik antara masalah sangat lazim dan secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu gastritis (keradangan lapisan mukosa yang melapik dinding perut) dan ulser perut atau peptik pada lapisan sel yang lebih dalam (lebih teruk berbanding gastritis).

Biasanya apabila orang berkata mereka ada masalah gastrik, ia merujuk kepada keadaan pertama (gastritis).


Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH 1 hingga pH 2) yang berfungsi mencerna makanan. Asid ini kuat dan jika terkena tangan, kulit akan terkakis. Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik.

Pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah). Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.


Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya jika sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa yang sudah lemah.
 

Tanda Gastrik

Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut. Antara tandanya ialah :

* Sakit perut (pada bahagian atas perut atau abdomen)
* Rasa senak, berangin atau pedih
* Rasa tidak selesa
* Kembung, sendawa berulang kali dan kerap kentut selepas makan
* Rasa mual (loya) dan muntah
* Hilang selera makan
* Berat badan turun (pada peringkat teruk)

Jika sampai peringkat teruk, ulser perut menyebabkan pendarahan dan ia boleh dilihat dalam 2 bentuk iaitu :

* Najis menjadi hitam seperti tar
* Muntah mengandungi darah atau berwarna gelap seperti kopi


Siapa Yang Berisiko?

Gastrik adalah masalah sangat lazim dan boleh berlaku pada sesiapa saja. Secara umumnya lebih ramai lelaki mengalami masalah gastrik dengan nisbah 1.5 hingga 2 kali ganda berbanding wanita. Ia biasanya disebabkan gaya hidup dan faktor risiko seperti :

# Individu yang kerap mengambil ubat tahan sakit dalam tempoh lama seperti ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID). Ini termasuk aspirin (yang diambil pesakit jantung untuk mencairkan darah)

Tempoh pengambilan ubat yang membolehkan seseorang mengalami gastrik berbeza antara individu kerana bagi orang yang sensitif, pengambilan selama beberapa minggu boleh menyebabkan masalah ini

# Merokok dan banyak minum minuman keras. Asap rokok dan alkohol boleh memberi kesan negatif dan mencederakan lapisan pertahanan (lapisan mukosa)


# Jangkitan bakteria Helikobakter pilori (H pilori). Bakteria ini berupaya melemahkan lapisan mukosa melalui 2 cara iaitu :

i) Bakteria H pilori menghasilkan enzim urase yang memecah atau menguraikan urea kepada ammonia. Ammonia ini bahan toksik yang boleh menjejaskan lapisan mukosa. Kehadiran banyak ammonia melemahkan lapisan pertahanan yang menyebabkan asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan mengakibatkan keradangan

ii) Bakteria H pilori mempunyai bentuk berpilin (berlingkar). Jadi ia boleh membuat lubang pada lapisan mukosa (seperti lubang cacing) yang akhirnya melemahkan lapisan pertahanan ini

# Individu yang banyak mengalami tekanan sama ada tekanan kerja, peribadi, sosial atau mendapat jangkitan kuman yang teruk juga lebih berisiko diserang masalah gastrik. Malah masalah gastrik juga kerap dikesan pada pesakit yang baru menjalani pembedahan besar kerana pembedahan juga adalah satu bentuk tekanan kepada badan.

# Individu yang suka mengambil ubat tradisional, terutama yang mengandungi akar kayu. Ia termasuk ubat tradisional Cina dan Melayu kerana kebanyakan ubat tradisional dicampur steroid supaya ia lebih berkesan dan mujarab.


Rawatan

Ada 3 jenis ubat untuk gastrik iaitu :

* Antasid - bertindak memperbaiki dan memberi lapisan tambahan kepada lapisan pertahanan (mukosa) yang diambil 3 kali sehari

* Antagonis H2 - berfungsi mengurangkan rembesan asid. Ubat antasid dan antagonis H2 diberi untuk gastritis

* Perencat pam proton (PPI) - bertujuan mengurangkan rembesan asid dengan lebih berkesan; biasanya diberi kepada pesakit yang alami gastritis teruk atau ulser perut

Masalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas 3 atau 4 hari iaitu apabila kesakitan hilang.


Mengapa perlu menghabiskan ubat? Ubat diberi sebenarnya membantu memulihkan lapisan pertahanan dalam perut dan ia mengambil masa 2 minggu untuk kembali normal. Memberhentikan pengambilan ubat selepas 3 atau 4 hari bermakna anda sengaja mengundang gastrik untuk datang balik.

Malah lebih baik jika pesakit jalani pemeriksaan teropong perut (endoskopi) untuk mengetahui tahap masalah dan melihat sama ada pesakit mengalami jangkitan bakteria H pilori bagi menentukan jenis ubat yang sesuai.
Jaga Pemakanan, Ubah Gaya Hidup

Selain pengambilan ubat, pesakit perlu menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup bagi mengelak serangan gastrik berulang. Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah :


* Berhenti merokok dan minum minuman beralkohol

* Hentikan pengambilan ubat tahan sakit

* Amalkan pemakanan sihat dan makan secara teratur (sarapan, makan tengah hari dan malam). Pada bulan puasa, kena bangun sahur dan sebaiknya melewat-lewatkan bersahur

* Makan sedikit-sedikit tetapi kerap

* Kurangkan makanan berempah, bercili, masam

* Kurangkan minuman mengandungi kafein (kopi, teh dan minuman berkarbonat)

* Ambil susu kerana sifat susu yang beralkali boleh mengurangkan keasidan perut

* Kurangkan pengambilan makanan yang disifatkan berangin. Jenis makanan ini berbeza antara individu dan ubah suai mengikut keperluan masing-masing

Rintihan Roh

   Di riwayatkan: “Jika roh telah keluar dari tubuh manusia dan telah lewat tiga hari, maka roh itu berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku sehingga aku berjalan dan melihat tubuhku yang dahulu aku berada di dalamnya.” Maka Allah memperkenankan kepadanya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat kepadanya dari jauh. Kedua lubang hidungnya dan mulutnya mengalir darah. Maka ia menangis dengan suatu tangisan yang cukup lama. Lalu ia merintih, aduuuh hai tubuhku yang miskin, wahai kekasihku. Ingatlah akan hari kehidupanmu. Rumah ini adalah rumah serigala, bala bencana, rumah yang sempit, rumah kesusahan dan penyesalan.
    Setelah lewat lima hari roh berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku.” Maka Allah memperkenankannya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Dan mengalirlah kedua lubang hidung dan mulutnya berupa air nanah.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul qudus) dan para malaikat berdiri dengan berbaris.”
( An-Naba’: 38)
    Disebutkan dalam satu keterangan, bahawa yang dimaksud roh itu adalah rohnya anak Adam (manusia), dan keterangan yang lain mengatakan bahawa roh itu adalah rohnya malaikat Jibril as. Juga ada keterangan yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya Nabi Muhammad SAW yang berada di bawah Arasy, ia minta izin dari Allah di malam Lailatul Qadar untuk turun memberikan salam penghormatan kepada seluruh mukminin dan mukminat dan roh itu berjalan melalui mereka.
    Ada pula yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya para kerabat yang sudah mati, mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, semoga Engkau memperkenankan kami untuk turun ke rumah-rumah kami, sehingga kami melihat anak-anak kami dan ahli-ahli kami. Maka roh-roh itu turun pada malam Lailatul Qadar.
    Sebagaimana Ibnu Abbas ra mengatakan: “Jika datang Hari Raya, hari Asyura’, hari Jumaat yang pertama dari bulan Rajab, malam Nisfu Sya’ban, Lailatul Qadar, dan malam Jumaat, roh-rohnya para mayat semua keluar dari kubur mereka dan mereka semua berdiri di pintu-pintu rumahnya seraya berkata: “Belas kasihanlah kamu semua kepada kami di malam yang berkah ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah. Jika kalian bakhil dengan sedekah, dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, maka hendaklah kalian mengingat kami dengan bacaan surah Al-Fatihah di malam yang penuh keberkahan ini.
    Adakah seorang telah belas kasihan kepada kami, apakah dari salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami wahai orang yang menempati rumah-rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita (isteri kami), wahai orang yang berdiri memperluas mahligai kami yang sekarang kami dalam kesempitan kubur kami, wahai orang yang membagi harta benda kami, wahai orang.yang menyiakan anak yatim kami. Adakah salah seorang dari kamu sekalian ada yang mengenang perantauan kami? Buku amal kami dilipat dan kitab amal kalian dibuka. Dan bukanlah bagi mayat yang berada dalam liang kubur melainkan pahalanya. Maka janganlah kalian melupakan kami dengan sebuku rotimu dan doamu, sebab kami orang-orang yang berhajat kepada kamu sekalian, selama-lamanya.
    Jika mayat memperoleh sedekah dan doa dari mereka maka ia kembali dengan riang gembira, dan jika ia tidak memperoleh maka ia pulang dengan sedih dan duka serta terhalang, dan putus asa dari mereka.
Telah diterangkan, bahawasanya roh dalam perkumpulan haiwan tidak dalam seluruh tubuh, tapi ia dalam satu bahagian dari beberapa bahagian yang tidak dapat ditentukan dengan dalil. Bahawasanya seorang dilukai dengan luka-luka yang banyak maka ia tidak mati. Dan ia dilukai dengan luka-luka satu maka ia menjadi mati. Sebab luka itu jika menimpa pada tempat di mana roh bertempat di mana roh di dalamnya, dan bahawasanya roh bertempat pada seluruh tubuh dan bahawasanya mati itu dalam seluruh tubuh, maka Firman   Allah SWT menunjukkan:
Katakanlah: “la akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali yang pertama.”
(Yaa Siin: 79)
    Jika dikatakan, apakah bedanya antara roh dengan rawan? Maka kita katakan hahwa keduanya adalah satu. Keduanya tidak ada perbedaan, sebagaimana tubuh serta tangan adalah menjadi satu. Cuma kalau tangan dapat bergerak kesana kemari tapi kalau tubuh sama sekali tidak bergerak. Demikian pula rawan kesana kemari tapi sama sekali tidak bergerak.
    Kemudian mengenai tempatnya roh di dalam tubuh tidak dapat ditentukan. Adapun tempatnya rawan di antara kedua alis. Maka jika roh itu hilang seorang hamba menjadi mati, dan jika rawan hilang ia menjadi tidur. Sebagaimana air yang dituangkan qas’ah dan ditaruh di rumah ada matahari yang sinarnya melalui lubang atap dan qas’ah itu tidak bergerak dari tempatnya.
    Maka demikian halnya roh bertempat di dalam tubuh dan pusatnya berada di Arasy. Adapun rawan melihat dikala bermimpi dan ia berada di alam malakut.
    Adapun tempatnya roh setelah dicabut, ada diterangkan bahawa tempatnya disengkala yang didalamnya terdapat lubang sejumlah bilangan haiwan-haiwan yang dijadikan sampai hari kiamat. Jika ia mendapat kenikmatan berada di situ dan jika mendapat azab maka di situ pula.
    Ada disebutkan bahawa roh-roh para mukminin berada dalam telur burung yang hijau di syurga iliyyin, adapun rohnya orang-orang kafir berada dalam telur burung yang hitam di neraka. Dan ada dikatakan bahawa rohnya para mukminin ketika dicabut, maka para malaikat rahmat sama mengangkat membawa naik roh ke langit yang tujuh dengan memuliakan dan mengagungkan. Kemudian dipanggil Zat pemanggil dari sisi Allah yang Rahman: “Hendaklah kamu semua menulis roh itu dalam Illiyyin lalu kembalikanlah ke bumi.”
    Maka mereka mengembalikan roh seorang mukmin ke dalam tubuhnya dan ia dibukakan pintu syurga, ia melihat tempatnya di syurga sampai datangnya hari kiamat.
    Dan bahawasanya rohnya orang-orang kafir sewaktu dicabut maka para malaikat azab sama membawa naik roh itu ke langit dunia. Maka ditutuplah pintu-pintu langit yang lain dan ia diperintah mengembalikan ke tempat berbaring tubuhnya, kuburnya disempitkan dan ia dibukakan pintu neraka. Oleh kerananya ia melihat tempat kediamannya kelak sampai datangnya hari kiamat. Dalam hal ini sebagaimana pernah disabdakan Nabi SAW, sehingga bahawasanya mereka mendengar suara sandal-sandal kalian, hanya saja mereka terhalang dari berkata.
Sebahagian Hukama’ ditanya tentang tempat roh-roh setelah mati, maka ia menerangkan sebagai berikut:
1.  Bahawasanya roh-roh para Nabi berada dalam Syurga Adn, ia berada dalam liang yang menyenangkan tubuhnya. Adapun tubuh bersujud kepada Tuhannya.
2.  Roh-roh para Syuhada berada di  syurga Firdaus, pada tengahnya syurga itu berada dalam telih burung yang hijau yang terbang di  syurga sekehendak hatinya. Kemudian datang keqanadil yang digantungkan di Arasy.
3.  Adapun roh-rohnya anak-anak kecil yang Islam berada dalam telih burung pipitnya Syurga.
4.  Roh-rohnya para anak-anak musyrik berputar-putar di syurga dan ia tidak punya tempat, sampai hari kiamat. Lalu mereka melayani para mukminin.
5.  Roh-rohnya orang-orang mukmin yang mempunyai hutang dan aniaya digantung diangkasa. Ia tidak sampai ke syurga dan tidak pula ke langit sampai ia membayar hutangnya dan penganiayaannya.
6.  Roh-rohnya orang-orang Islam yang berdosa diazab dalam kubur beserta tubuhnya.
7.  Roh-rohnya orang-orang kafir dan munafik dalam penjara neraka Jahannam dipintakan diwaktu pagi dan petang.
 
    Dan disebutkan, bahawasanya roh adalah merupakan jisim yang halus. Oleh kerana itu tidak dapat dikatakan jika Allah itu mempunyai roh. Sebab mustahil kalau Allah mempunyai tempat seperti jisim-jisim. Dan dikatakan bahawa roh adalah merupakan sifat dan dikatakan pula kalau ia pecah jadi angin, maka kedua perkataan ini adalah perkataannya orang yang mengingkari adanya seksa kubur.
    Ada diceritakan, bahawasanya seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, maka mereka bertanya kepada baginda  tentang roh dari Ashabi Raqim dan dari Raja Dzil Qarnain. Dengan perdebatan Yahudi itu maka turunlah surah Al-Kahfi.
Dan diturunkan tentang haknya roh adalah Firman Allah SWT.
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku.”
(Yaa Siin: 79)

Rahsia solat awal waktu...

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zu hurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .